Teknologi Kecerdasan Buatan (Ai) Dapat Menyekat Posting Lucah Dan Keterlaluan

Teknologi Kecerdasan Buatan (Ai) Dapat Menyekat Posting Lucah Dan Keterlaluan

Dr. Muhamad Hariz Bin Muhamad Adnan

Universiti Pendidikan Sultan Idris

Kejadian posting yang mengandungi unsur lucah dan keterlaluan di media sosial telah meningkat dan perkara ini menjadi salah satu isu utama kebimbangan pengguna media sosial. Namun, teknologi kecerdasan buatan (AI) boleh digunakan untuk menyekat posting tersebut, mengesan, dan membanterasnya.

AI merujuk kepada sistem komputer yang dirancang untuk meniru keupayaan dan fungsi manusia, seperti penglihatan, pendengaran, pemikiran, dan pembelajaran. Teknologi ini kini menjadi sangat penting dalam pelbagai bidang dan masyarakat, termasuk perniagaan, kesihatan, sains dan teknologi, dan pendigitalan. AI digunakan untuk membantu manusia dalam membuat keputusan yang lebih tepat dengan memberikan maklumat terperinci dari data yang besar, yang biasanya sukar didapati oleh manusia biasa. Dengan perkembangan teknologi yang pesat, AI dapat memudahkan kerja manusia dalam pelbagai aspek dan telah menjadi satu perkara utama dalam membawa perubahan besar kepada dunia.

Menurut satu kajian yang dijalankan oleh European Parliamentary Research Service (EPRS), penggunaan AI dianggap bermanfaat dalam pengurusan dan menyekat kandungan kontroversi di media sosial. Ini kerana keupayaan AI boleh digunakan untuk menyokong proses pengesanan dan moderasi kandungan. Syarikat media sosial seperti Facebook dan Twitter amnya menggunakan model AI mereka sendiri untuk mengesan dan sekiranya perlu, menyekat posting sosial yang dianggap mengandungi unsur lucah dan keterlaluan. Walau bagaimanapun, model AI ini tidak menggunakan pemahaman bahasa yang mendalam untuk menganalpasti kandungan yang berunsur lucah dan keterlaluan.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh penyelidik dari Pusat Penyelidikan Transformasi Digital dalam Pendidikan dan Usahawan Tekno (DIMENSI), Universiti Pendidikan Sultan Idris, ianya telah dibuktikan bahawa perisian kecerdasan buatan dapat memahami pelbagai jenis kandungan dan impaknya kepada pembaca. Justeru, teknologi kecerdasan buatan dapat membantu untuk mengautomasikan penyekatan kandungan berunsur lucah dan keterlaluan. Seiring dengan meningkatnya jumlah pengguna media sosial, jumlah kandungan berbahaya seperti gambar dan video lucah juga semakin meningkat. Teknologi AI dapat memainkan peranan penting dalam mengenal pasti dan memerangi kandungan berbahaya seperti ini.

Contohnya, media sosial Tumblr memperkenalkan teknologi AI yang baharu dalam menangani kandungan lucah di platform mereka. Terdapat pelbagai API untuk mencari kandungan lucah secara automatik seperti Monithor yang boleh mengesan dan menganalisis kandungan berunsur lucah dalam video dalam masa kurang daripada dua saat. Clarifai AI juga mampu mengesan kandungan lucah dalam gambar dan video.

Pengguna media sosial juga boleh mengambil tindakan untuk membantu mengurangkan kandungan tersebut dengan mengikuti langkah-langkah yang disediakan oleh syarikat media sosial seperti menapis, memblok, dan melapor kandungan sebegini. Walaupun teknologi kecerdasan buatan berkembang pesat, pengguna media sosial mesti lebih peka dan tidak mudah menyebarkan posting yang sensitif dan mempunyai unsur negatif.

Pihak yang berautoriti dalam teknologi dan media sosial perlu mempertimbangkan penggunaan teknologi AI di masa hadapan untuk menyekat posting berunsur lucah dan keterlaluan. Pada masa yang sama, institusi pendidikan di Malaysia perlu menyediakan program pengajian berkaitan AI diperingkat sarjana, sarjana muda dan kedoktoran untuk meningkatkan kemahiran digital berkaitan AI dikalangan golongan muda dan professional di negara ini. 

Please follow and like us:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

× WhatsApp Us